Sambut Ummi dan Baba di Syurga


Seperti berada di dalam sebuah mimpi yang begitu panjang. 9 bulan dirimu berada di dalam rahim ibumu, menendang membuatkan hati ummi dan baba tersenyum walaupun baba tau ummi tengah sakit ketika itu. Terasa tak sabar menantimu keluar ke dunia.

Dikau dilahirkan pada 15 Jul 2015 bersamaan 28 Ramadan 1436H. Ketika itu ummi yang tak hilang lagi rasa sakit tetap tersenyum puas menatap wajahmu yang comel anakku. Baba sampai tak lena tidur apabila mengingatkan dirimu. Mungkin ini rasa gembira seorang bapa.

Ketika 1 syawal menjelma, ramai saudara mara yang datang melawat dirimu sayang, mendoakan kebaikan buat dirimu. Pada mulanya, baba dan ummi bercadang tidak pulang ke kampung baba, tapi bila tak ada siapa nak urut ummi kerana hari raya, baba bertekad membawa ummi pulang ke kampung baba kerana di kampung ada yang boleh mengurut ummi.

Sampai di kampung, tak putus-putus saudara mara datang ke rumah. Jika selalu raya kedua atau ketiga baru mereka datang ke rumah baba, tapi kali ini raya pertama ramai dah serbu rumah baba,kiranya ramai saudara ummi dan baba telah melihatmu sayang, tak sangka itu petanda dikau akan pergi meninggalkan kami.

18 Julai 2015 bersamaan 2 Syawal 1436h tak sangka adalah kali terakhir buat ummi dan baba melihat dirimu. Memeluk mencium dirimu . Sayangku ummi dan baba tau Allah lebih menyayangi dirimu, walaupun cuma dipinjam dirimu walaupun 3 hari tetapi Alhamdulillah semuanya baba sempat lakukan untukmu wahai anakku, mandikan dirimu, membayar zakat untukmu, mengazankan dan iqamatkan dirimu.

Walaupun tidak sempat kita bergambar bersama, tapi baba dan ummi tau dikau ada bersama kami, cuma dikau di sana kami disini. Wahai anakku, Sambut ummi dan baba di syurga.


Labels: